Impian miliki gudang sejuta kaki persegi tercapai

KLANG – Impian sebuah syarikat perkhidmatan pelabuhan dan logistik Bumiputera, Baiduri Dimensi Sdn Bhd untuk memiliki gudang berkeluasan sejuta kaki persegi bakal terlaksana tidak lama lagi.

Pengarah Urusan, Musa Mohammad berkata, pihak syarikat kini dalam proses perbincangan bagi membangunkan tanah seluas kira-kira 3.6 hektar di Pulau Indah melibatkan proses menukar status tanah daripada pertanian kepada perindustrian (rizab Melayu).

Menurutnya, sebelum ini pihak syarikat telah membina sebuah gudang seluas 150,000 kaki persegi yang terletak di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada tahun 2011 sebagai tempat penyimpanan kargo pelanggan dan menguruskan pengendalian kargo.

“Berikutan permintaan yang diterima tinggi, kita kemudiannya membina dua lagi gudang pada tahun lalu.

“Alhamdulillah gudang ketiga kita seluas kira-kira 60,000 kaki persegi dirasmikan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan ia akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian gudang baru Baiduri Dimensi Sdn Bhd di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, pihaknya amat bersyukur kerana berbekalkan modal sebanyak RM10,000 dengan sebuah lori pada tahun 1995 lalu, kini syarikat ini makin berkembang.

“Syarikat ini didaftarkan pada 13 Mac 1997 semasa kegawatan ekonomi, tetapi kami berdiri teguh menghadapi pelbagai dugaan dengan izin dan bantuan Allah.

“Pada April lalu, syarikat telah meluaskan divisyen selepas berjaya mendapatkan lesen penghantaran (Forwarding License) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Musa berkata, pada hari ini syarikat sudah berjaya mengumpulkan aset melebihi 50 juta serta mempunyai lebih 500 kakitangan.

Tambahnya, pihaknya berharap Baiduri Dimensi dapat meluaskan lagi perniagaan di dalam bidang perkapalan sekali gus menjadi sebuah syarikat logistik yang lengkap satu masa nanti.

Source : Sinar Harian